DMedia Channel

Tech News | Reviews | Tips by DirectDMedia

ROG Flow X16 Sememangnya Mengancam!

ROG Flow X16 menyembunyikan keupayaan prestasi yang membanggakan di dalam kotak yang tidak menonjol. Ia mempunyai teknologi yang terbaik daripada AMD dan Nvidia, dan merupakan convertible laptop yang paling berkuasa di dunia. Skrin besar boleh dipusingkan 360 darjah. Pilihan reka bentuk seperti ini mungkin kedengaran tidak wajar pada mulanya. Ini kerana ciri skrin yang seperti ini biasanya terdapat pada laptop ultra dan notebook untuk produktiviti kreatif.

Walau bagaimana pun, kelebihan ini sedikit sebanyak menaikkan kebolehgunaan peranti ini. Anda boleh menggunakannya sebagai laptop konvensional yang biasa, tetapi ia juga boleh dilipat menjadi posisi khemah dan berfungsi seperti TV kecil. Anda boleh bermain permainan dengan menggunakan alat kawalan atau menonton filem. Jika anda ubah kepada posisi tablet, ia sesuai untuk kerja-kerja kreatif atau main permainan seperti di tablet. Jika anda tidak kisah dengan saiz dan berat dia, ia juga boleh digunakan untuk membaca e-book.

ROG Flow X16: Ciri-ciri dan Spesifikasi

Berikut adalah spesifikasi untuk ROG Flow X16:

  • CPU: AMD Ryzen™ 7 6800HS
  • Memori: 8GB DDR5
  • Grafik: NVIDIA® GeForce RTX™ 3060 | 3070 Ti
  • Storan: 1TB PCIe® 4.0 NVMe™ M.2 Performance SSD
  • Skrin: 16-inci QHD+ IPS (2560 x 1600) 165Hz | 16-inci QHD+ Mini LED (2560 x 1600) 165Hz 
  • Webcam: 720P HD IR
  • Ketersambungan: Thunderbolt 4 USB Type-C, 2x 3.2 Gen 2 Type-C, 2x USB 3.2 Gen 2 Type-A, HDMI 2.0b, combo audio jack, ROG XG Mobile Interface and USB Type-C combo port
  • Rangkaian: Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3
  • Kapasiti bateri: 90 Watt-hours
  • Ukuran dimensi: 13.98 (W) x 9.57 (D) x 0.76 ~ 0.86 (H) inches
  • Berat timbangan: 2.00 Kg (4.41 lbs) | 2.10 Kg (4.63 lbs)
  • Harga: RM9,499 | RM11,999

Ia bermula dengan harga RM9,499 untuk sistem dengan grafik RTX 3060 manakala untuk versi yang lebih tinggi menggunakan sistem grafik RTX 3070 Ti. Selain daripada itu, ia juga ada perbezaan dari segi skrin yang mana versi yang lebih tinggi menggunakan Mini-LED dan versi biasa menggunakan IPS. 

ROG Flow X16: Reka bentuk, papan kekunci, pad sesentuh

ROG telah menetapkan reka bentuk yang estetik dengan gaya minimalis sendiri, yang berbeza dengan kebanyakan gaming laptop yang mempunyai rekaan yang agresif, logo besar, dan saluran udara besar untuk menarik perhatian. Untuk Flox X16, pada zahirnya kelihatan seperti gaming laptop yang biasa, tapi ada tarikan yang tersendiri. Ia hadir dengan warna hitam dengan dua tona warna serta jalinan bergaris, membuatkan ia kelihatan cantik dan menawan. Chasisnya diperbuat daripada aluminium dan magnesium alloy membuatkan ia terasa kukuh dan seimbang apabila memegangnya. 

Berat dia sekitar 2kg dan itu adalah berat purata untuk sebuah laptop 16 inci. Ia juga boleh dibuka hanya dengan satu jari. Pada keseluruhan rekaan, anda akan nampak logo ROG pada bahagian bawah kiri penutup. Saiz dia yang kecil dan tidak menonjol, membuatkan ia nampak kemas dan menaikkan lagi ciri minimalis. 

Saya cuma ada dua isu kecil dengan bahagian penutup dia ni. Pertama, ia senang comot dengan kesan cap jari. Kemasan kusam pada permukaan menyukarkan kesan tersebut untuk ditanggalkan. Kedua, Dia punya engsel tidak begitu kuat, menyebabkan ia selalu bergerak setiap kali saya menyentuh skrin. Ia mungkin bukanlah satu isu yang besar, tapi untuk sesetengah orang, dengan berat yang macam ni sepatutnya engsel dia boleh pegang penutup dia tu dengan lebih kuat. 

Papan kekunci dia memang terasa premium. Jarak diantara kekunci sejauh 1.7mm membolehkan saya menaip dengan lebih pantas dan konsisten. Setiap kekunci sangat responsif dan selesa untuk ditekan walaupun ketika sedang bermain. Walaupun begitu, Flow X16 hanya mempunyai satu zon pencahayaan LED RGB dan tiada pad nombor. 

Dari segi pad sesentuh dia pula memang bagus. Bukan sahaja besar, ia juga sangat lancar. Setiap gerakan yang saya lakukan, ia berikan respon yang baik dan tepat. Saya tiada isu langsung dengan penolakan tapak tangan dan tak pernah gerakkan kursor secara tidak sengaja ketika menaip walaupun ditutup sepenuhnya dengan pergelangan tangan.  

ROG Flow X16: Skrin, port

Flow X16 menawarkan mini-LED pada skrin dia yang mana saya boleh kata ia antara skrin yang paling bagus pernah ada pada sebuah laptop. Apa yang istimewa dengan mLED ni ialah ia ada kebolehan ‘multi-zone backlight control’ yang boleh meningkatkan kontras. Anda juga boleh pilih sama ada ingin mod ‘multi-zone’ atau ‘single-zone’ pada Armory Crate. Paparan yang dihasilkan memang menakjubkan. Nisbah kontras dia 10 kali lebih tinggi daripada panel IPS yang biasa. 

 Ia menggunakan 2560×1600 piksel dengan nisbah aspek 16:10. Permainan memang nampak mengagumkan dengan nisbah aspek macam ni. Ia juga ada ruang tambahan menegak berbanding skrin lebar 16:9, yang sesuai untuk mereka yang suka lakukan berbilang tugas dengan membuka berbilang tetingkap apabila tidak bermain.

Ia ada 3ms masa tindak balas yang baik untuk pelbagai situasi ketika bermain. Panel dia juga dilengkapi dengan AMD FreeSync Premium Pro yang boleh mencapai 165Hz kadar segar semula. Satu jumlah yang boleh lakukan kerja yang terbaik dalam permainan perseorangan dan juga permainan e-sukan yang lazim.

Asus ada menyatakan LED mini mereka ini ada puncak kecerahan mencecah 1100 nits dan menyokong HDR. Ia juga boleh memaparkan 100% DCI-P3 color gamut. Paparan dia sememangnya terang, dengan warna yang jelas dan tepat.

Kamera dia mungkin salah satu kekurangan Flow X16. Dengan tanda harga yang seperti ini, sepatutnya ia disajikan dengan 1080P webcam, tapi yang dapat hanyalah 720P. Hanya HD dan memerlukan cahaya yang cukup untuk dapat kualiti gambar yang baik. Walaupun begitu, ia masih menyokong Window Hello. 

Flow X16 ada output audio yang premium. Ia dapat tingkatkan pengalaman bermain permainan dengan kualiti audio yang lebih unggul. Dengan ‘virtual 5.1.2-channel surround sound’ dan dikuasakan oleh Dolby Atmos, ia membawa anda lebih jauh ke dalam dunia permainan anda dengan efek bunyi yang mengancam. Anda juga boleh sesuaikan dan optimumkan audio dengan mod preset yang direka khusus untuk filem dan permainan.

Sambungan I/O yang tersedia cukup untuk semua jenis port USB, jadi anda tidak perlu bawa penyesuai,dan ada port xGM untuk GPU luaran daripada Asus. Kat situ juga ada port  HDMI, memudahkan penyambungan kepada skrin paparan tambahan sekiranya anda rasa skrin Flow X16 ni tidak cukup besar untuk sesetengah permainan. Kalau anda dalam bidang fotografi, pasti anda suka dengan pembaca kad SD yang tersedia yang memudahkan pemindahan data. Yang terakhir, Flow X16 menawarkan rangkaian nirwayar yang terkini dengan WiFI 6E dan juga Bluetooth 5.3.

ROG Flow X16: Prestasi

ROG Flow X16 dikuasai oleh AMD Ryzen™ 7 6800HS dan grafik NVIDIA® GeForce RTX™ 3060 atau 3070 Ti. Cip pemprosesan ia ada 8 teras prestasi yang boleh melewahjam sehingga 4.9GHz. Asus bekalkan RAM sebesar 16GB dan boleh tambah menjadi 64GB. Ruang storan pula sebesar 1TB SSD. 

Pada Cinebench, markah yang diberikan ialah 11701 untuk Multi Core dan 963 untuk Single Core. Sudah pasti ia mampu untuk lakukan produktiviti kerja tanpa sebarang gangguan 

Untuk ujian Geekbench, Flow X16 menunjukkan markah yang memberansangkan.

ROG Flow X16: Suhu dan bateri

Flow X16 ada pengurusan suhu yang berfungsi dengan baik, termasuklah dalam mod ‘Performance’. Walaupun kedengaran bunyi kipas tapi tidak terlalu ketara. Bunyi yang dihasilkan pun tidak melebihi 47db. 

Ketika bermain permainan dalam mod ‘Performance’, bahagian bawah dan permukaan sekitar papan kekunci menjadi hangat tetapi tidak terlalu panas. Apabila bertukar ke mod ‘Turbo’, bunyi dia meningkat menjadi kira-kira 50db dan menjadi lebih panas. Akan tetapi bunyi dan haba keseluruhannya masih lagi terkawal. Jika dibandingkan dengan gaming laptop yang lain, Flow X16 dapat tangani aspek-aspek ini dengan lebih baik. Dalam mod ‘Windows’, bunyi yang dihasilkan pada tahap sederhana dan tidak kedengaran langsung sebarang bunyi dalam mod ‘Silent’. Anda dapat bermain dengan tenang dan santai.

Dari segi prestasi bateri, ia berfungsi dengan sangat bagus. Jika lakukan kerja seharian dengan kecerahan penuh, laptop ini boleh tahan selama empat jam. Jika kecerahan 50%, ia boleh bertahan selama 5 jam dan 35 minit. Yang menariknya, apabila anda hanya memainkan media sahaja dengan kecerahan skrin 50%, Flow X16 boleh tahan lebih dari lapan jam.

Walau bagaimanapun, prestasi bateri dia lebih kurang sama dengan gaming laptop yang lain semasa bermain permainan. Dengan bateri 90Wh, Flow X16 hanya mampu bertahan selama sejam. Anda disyorkan menggunakan pengecas untuk menikmati prestasi yang sepenuhnya semasa sesi permainan.

ROG Flow X16: Kesimpulan

ROG Flow X16 adalah salah sebuah laptop yang paling berkuasa dalam kategori ‘convertible’ dan memiliki reka bentuk yang menarik. Jika anda ingin laburkan sejumlah wang untuk sebuah gaming laptop, pada pendapat saya, ia seharusnya ada penampilan dengan keunikan tersendiri selain daripada ciri-ciri istimewa yang ditawarkan. ROG Flow X16 ada rekaan yang menarik dalam kalangan gaming laptop. Ia dapat memberikan prestasi yang hebat dan kepelbagaian fungsi untuk membantu anda menjadi lebih baik.