DMedia Channel

Tech News | Reviews | Tips by DirectDMedia

Dua Peranti Mampu Milik, OnePlus, Akan Dilancarkan 4 April Ini

OnePlus Malaysia telah mengumumkan pelancaran produk mampu milik mereka yang akan datang, telefon pintar OnePlus Nord CE 3 Lite 5G dan fon putik OnePlus Nord Buds 2, selepas melancarkan dua peranti flagship bulan lalu. Majlis pelancaran dijadualkan pada 4 April 2023, dengan siaran langsung bermula pada pukul 9.30 malam serentak dengan pelancaran di India.

Walaupun nama produk telah disahkan, spesifikasi penuh masih belum dinyatakan oleh OnePlus, walaupun gambar produk telah dimuat naik untuk penilaian awal. OnePlus Nord CE 3 Lite 5G akan hadir dalam warna Pastel Lime, dengan dua bulatan besar di bahagian belakang yang memuatkan tiga kamera, serta bulatan kecil LED flash.

Di hadapan, terdapat skrin rata dan lubang kecil untuk kamera hadapan, manakala butang kuasa di sebelah kanan kemungkinan mengandungi pengimbas cap jari. Fon putik OnePlus Nord Buds 2 mempunyai reka bentuk yang berbeza dari fon putik asal OnePlus Nord, dan tersedia dalam warna hitam dan putih.

Kemungkinan besar, dua model baru ini akan dijual pada harga yang sama seperti OnePlus Nord CE 2 Lite 5G dan OnePlus Nord Buds pada tahun lepas, dengan harga masing-masing pada RM1,199 dengan storan 128GB dan RM299.