DMedia Channel

Tech News | Reviews | Tips by DirectDMedia

iQOO Melancarkan iQOO Pad Dan iQOO TWS Air Pro

Ketika pelancaran siri iQOO Neo 8, iQOO turut melancarkan iQOO Pad dan fon telinga nirwayar iQOO TWS Air Pro. iQOO Pad sebenarnya merupakan penjenamaan semula vivo Pad 2, yang dilengkapi dengan cip Dimensity 9000+. Fon telinga TWS Air Pro pula menawarkan pengalaman audio yang mengasyikkan dan daya tahan bateri hingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas.

iQOO Pad yang mirip dengan vivo Pad 2, menonjol dengan chipset Dimensity 9000+ yang berkuasa, memberikan sedikit kelebihan daripada segi prestasi jika dibandingkan dengan Dimensity 9000+ yang ada pada tablet vivo. Spesifikasi yang lain masih dikekalkan, termasuk dengan sistem operasi OriginOS 3. Tablet ini memiliki paparan IPS LCD berukuran 12.1 inci dengan resolusi 2880 x 1800 piksel dan kadar segar semula 144 Hz. Yang menariknya, tablet ini memiliki nisbah bidang 7:5 yang sesuai untuk kandungan versi tegak, dan kamera depan 8MP untuk panggilan video.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi kamera utama 13MP dan kamera makro 2MP, dengan rekaan kamera yang sama dengan vivo Pad 2. Dengan ketebalan hanya 6.59 mm, peranti ini memang cukup nipis. Ia tersedia dalam dua varian LPDDR4X RAM 8GB dan 12GB, dengan pilihan storan 128GB, 256GB, dan 512GB. iQOO Pad menyokong pen stylus iQOO Pencil dan diharap bersesuaian dengan casing keyboard vivo. Tablet ini dilengkapi dengan bateri sebesar 10,000 mAh yang menyokong pengesan pantas 44W.

iQOO Pad dijual pada harga bermula CNY2299 (~RM1500) untuk varian 8GB RAM dan 128 GB storan, manakala varian 12GB RAM dan 512GB storan ialah CNY3299 (~RM2144). Ia akan mula dijual pada 31 Mei dengan satu pilihan warna iaitu Grey. Maklumat tentang ketersediaan global belum lagi diketahui.

Selain tablet, iQOO juga memperkenalkan fon telinga baru yang direka untuk memberikan pengalaman audio yang lengkap. Fon telinga ini memiliki IP54 yang tahan percikan air, kebolehan sambungan berganda, dan ciri Find My Earbuds. Fon telinga ini juga tertumpu pada permainan, oleh itu ia menawarkan gaming mode dengan pendaman yang rendah. TWS Air Pro ini turut dilengkapi dengan driver 14.2mm, ANC dan memberikan daya tahan bateri hingga 30 jam dengan pod pengecas. Ia menyokong Bluetooth 5.3 dan dilengkapi dengan kod AAC dan SBC.

Fon telinga TWS Air Pro ini tersedia dengan warna White dan Black/Yellow dengan harga CNY 269 (~RM174) dan mula dijual pada 31 Mei. Dengan adanya ciri ANC, harga yang ditawarkan memang sangat menarik. Diharap fon telinga ini akan tersedia secara global dalam masa terdekat.