ASUS ROG dijangka akan memperkenalkan model baharu ‘FE’ (Fan Edition) dalam siri ROG Phone 9 mereka. Walaupun belum diumumkan secara rasmi, peranti ini telah menerima beberapa pensijilan dan maklumat terperinci tentang spesifikasinya telah terbocor melalui sumber daripada 91mobiles.
Spesifikasi ROG Phone 9 FE
ROG Phone 9 FE akan dilengkapi skrin AMOLED LTPO Samsung Flexible 6.78 inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar sehingga 165Hz, yang boleh mencapai 185Hz dalam mod Game Genie. Ia dikuasakan oleh Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM 16GB LPDDR5X dan storan 256GB UFS 4.0. Sistem kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP Sony IMX890 dengan OIS, kamera ultra lebar 13MP, dan kamera makro 5MP, serta kamera swafoto 32MP.
Peranti ini akan menggunakan bateri 5,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W dan pengecasan tanpa wayar. Ia akan dilancarkan dengan Android 15. Ciri-ciri tambahan termasuk pembesar suara stereo berkembar, sokongan audio Hi-Res, bicu fon telinga 3.5mm, Wi-Fi 7, dan pengimbas cap jari dalam skrin.
Reka bentuk ROG Phone 9 FE
Dari segi reka bentuk, ROG Phone 9 FE mengekalkan penampilan siri flagship dengan modul kamera dan logo ROG yang serupa di bahagian belakang. Ia akan tersedia dalam warna ‘Phantom Black’ dan dilengkapi dengan kawalan AirTrigger untuk pengalaman permainan yang lebih mantap. Dengan berat 225g dan dimensi 163.8×76.8×8.9mm, ia lebih ringan berbanding ROG Phone 9 biasa. Peranti ini juga mempunyai penarafan IP68 untuk ketahanan terhadap habuk dan air.
Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada ASUS Malaysia mengenai kemasukan ROG Phone 9 FE ke pasaran tempatan. Sekiranya ia dilancarkan di Malaysia, ia mungkin akan menjadi pilihan yang menarik untuk peminat permainan mudah alih yang mahukan telefon gaming berkuasa tinggi pada harga yang lebih berpatutan.
More Stories
ROG Phone 9 Series: AI On, Game On is Finally Here!
Price cuts on ASUS ROG Phone 8 Series! Now until 3 November!
ROG Tessen: First Impression Goes Smoothly!